SETELAH berjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penghasilan drama komedi bersiri, layar web Portal Gua.com.my (GUA) yang menawarkan platform hiburan interaktif itu dikatakan mencatat seramai 30 juta pengunjung serta mempunyai 66,000 ahli berdaftar sejak ia dilancarkan tujuh bulan lalu.Justeru itu, GUA telah memperlihatkan komitmennya bagi memperkembangkan industri muzik dengan melancarkan portal Guamuzik.com.my (GUAMUZIK) selain menjadi tapak kepada pemuzik tanah air mempromosikan bakat mereka menerusi portal tersebut.
Portal tersebut merupakan destinasi pengunjung bagi penggemar muzik untuk menikmati kandungan terkini seperti berita, gosip, ulasan, blog, forum dan pelbagai pautan berkaitan dunia muzik.
Selain itu, portal interaktif itu juga membolehkan para pengunjung laman web memuat turun kandungan digital sekali gus menikmati lagu-lagu serta klip muzik pilihan mengikut cita rasa masing-masing.
Menurut Pengarah Urusan Bahagian Portal Alt Media Sdn. Bhd., M. Zulkifli Abdul Jalil, pelancaran tersebut merupakan hasil sambutan positif yang menggalakkan daripada umum sekali gus menawarkan gambaran yang menyeluruh terhadap industri muzik tanah air dan antarabangsa.
''Kami percaya bahawa kini sudah tiba masanya mengerakkan dunia muzik secara interaktif yang boleh dimanfaatkan oleh para penggiat muzik seperti syarikat rakaman, artis dan paling utama para pengguna itu sendiri,'' katanya selepas melancarkan portal Guamuzik.com.my, baru-baru ini.
Dalam pada itu, GUAMUZIK dikatakan menyediakan pelbagai genre muzik daripada rock hingga ke nasyid yang merangkumi lagu nyanyian artis tempatan dan antarabangsa.
Kini, dengan kehadiran portal sebegini, penggemar muzik berpeluang untuk memuat turun lagu pilihan berfail format WMA pada kelajuan 192 kilobait (KB) sesaat.
Para pengguna tidak perlu khuatir akan kualiti fail yang dimuat turun kerana ia dijamin jelas dari segi bunyi.
Kemudahan memuat turun itu dikatakan tidak memerlukan proses yang rumit kerana pengguna hanya perlu mengklik butang tonton (view) dan seterusnya memicit pada ikon muat turun (download) pada lagu pilihan.
Lagu pilihan akan boleh dimainkan sebaik sahaja fail selesai dimuat turun dan disimpan pada komputer pengguna itu sendiri.
Bagi setiap lagu yang dimuat turun pengguna akan dicaj dari RM3 hingga RM5 bergantung kepada muzik yang dipilih.
Selain itu, portal tersebut juga menawarkan pelbagai hadiah menarik khusus untuk ahli yang berdaftar seperti tiket konsert, cakera padat yang ditandatangani artis dan banyak lagi.
Tambah Zulkifli, pada masa akan datang pihaknya akan menyelaraskan kemudahan muat turun muzik dilakukan bukan sahaja menerusi komputer malah boleh dimuat turun menggunakan telefon bimbit.
dipetik dari Utusanonline
Labels: berita sains, teknologi, utusanonline