___

GOOGLE Inc, syarikat enjin carian internet terbesar di dunia menganggap pasaran Malaysia semakin penting kerana rakyat negara ini adalah pengguna terbesar kemudahannya di Asia Tenggara.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Internetnya, Vinton G Cerf berkata, syarikat itu masih meninjau peluang dan masa yang terbaik untuk meluaskan pasarannya ke negara ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan cadangan itu, Google sedang melaksanakan kajian mengenai pasaran negara ini termasuk faktor bahasa, budaya dan gaya hidup dan tabiat pelayaran di kalangan pengguna internet tempatan.


“Kami telah memiliki operasi di negara lain di Asia seperti China serta India dan sedang mencari peluang meluaskan aktiviti perniagaan kami khasnya di Asia Tenggara,'' katanya pada sidang akhbar di Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT 2008), semalam.

Cerf menjelaskan, kajian berkenaan perlu dilakukan dengan lebih terperinci kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kejayaan syarikat itu untuk menguasai pasaran sesebuah negara berdasarkan kefahaman terhadap keperluan dan kemahuan pengguna internet dan tabiat pelayaran mereka.

Katanya, tabiat pelayaran internet pengguna berbeza dari satu negara ke negara lain kerana ia berkaitan dengan budaya, bahasa dan kepercayaan masing-masing.


“Kadar penembusan kami di sebahagian pasaran dunia ini bergantung kepada sejauh mana kami memahami bahasa dan tabiat pengguna melayari internet untuk memperoleh maklumat,'' katanya.

Cerf turut menegaskan, Google akan terus mengekalkan model perniagaannya yang menumpu kepada sektor pengiklanan untuk menjana pendapatan kerana segmen berkenaan akan menjadi tepu menjelang tahun 2035.

Katanya, banyak lagi peluang perniagaan dalam segmen pengiklanan boleh diceburi syarikat kerana pendapatan tahunan daripada bidang pengiklanan di Amerika Syarikat (AS) saja adalah AS$420 bilion.

Beliau menambah, yang penting kini adalah memberi tumpuan untuk memberi kemudahan yang cekap dan cepat kepada penggunanya.

“Bagi Google, model perniagaan sedia ada adalah yang terbaik telah kami bangunkan. Justeru, kami akan terus berusaha meningkatkan pendapatan daripada sumber ini,'' katanya.

dipetik dari Berita harian Online.

0 Comments:

Post a Comment



Template © by Abdul Munir